"All praises is due to ALLAH alone. Only the mistakes have been ours. May ALLAH forgive our sins with His infinite mercy, Ameen."
MAY PEACE AND BLESSINGS OF ALLAH SUBANNAH WATAALLAH BE UPON OUR PROPHET MOHAMMED, HIS FAMILY AND COMPANIONS.
BROTHERS AND SISTERS IN ISLAM FISABILILLAH HAS BEEN INACTIVE FOR SOME TIME, HOWEVER WITH THE HELP OF ALLAH WE ARE NOW RELAUNCHING AND INSHALLAH WILL BE AVAILABLE FOR ALL TO GAIN BENEFIT PEACE AND KNOWLEDGE.
ALLAH ACCEPT THE EFFORTS OF ALL INVOLVED ACCEPT OUR THANKS FOR THIS OPPORTUNITY AND FORGIVE OUR FAULTS AND ERRORS FOR THEY ARE SURELY OURS ALONE AND ALL GOOD COMES FROM HIM.

Monday, December 16, 2013

Apakah Itu Bahagia

السلام علبكم و رحمة الله و بركاته

Saudara yang dirahmati Allah sekelian, kebahagiaan adalah Syurga yang sentiasa diimpi-impikan oleh setiap insan. Tetapi sayang amat sedikit yang mampu menggapai dan merasai nikmat kebahagian ini. Kebahagiaan adalah anugerah dari yang Maha Penyayang yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ada manusia yang mampu menikmatinya dan ada pula yang hanya mampu mengimpikannya. Orang-orang yang berjaya menggapai kebahagiaan adalah orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah  untuk menggapainya. Mereka rasa gembira dan sukacita dengan pemberian Allah . Mereka beramal dengan amal-amal kebaikan dan redha terhadap setiap ketentuan-Nya.

Sebahagian orang menganggap kebahagiaan dapat digapai dengan banyaknya harta dan kekayaan. Ada pula yang menganggap kebahagiaan diraih dengan pangkat, pujian, dan kedudukan, ditambah dengan paras rupa yang cantik rupawan. Bahkan ada juga yang menganggap kebahagiaan itu bersama-sama dengan hal-hal yang telah diharamkan Allah . Atas kelalaian dan ketidak-sedaran, hal-hal seperti ini selalu dianggap sebagai kebahagiaan dan kemuliaan. Umumnya memang setiap manusia sentiasa sedaya-upaya mengejar kebahagiaan. Ada yang berjaya menggapainya, tetapi tidak kurang yang tertunda, dan ada pula yang gagal.

Tidak sedikit orang-orang yang lalai dari mengenal hakikat kebahagiaan, melainkan orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah  untuk mengenal sekaligus mengecapinya. Kebahagiaan di sisi Islam hanya dapat dicapai apabila hati tertanam benih-benih taqwa. Itulah kebahagiaan dan kemuliaan yang sebenar.

Iaitu dengan mengenal agama ini, mentaati Allah, mengikuti petunjuk Rasul-Nya, serta menjauhi segala hal-hal yang dilarang dan tercela. Melalui agama yang benar inilah manusia tahu dari mana dia datang, untuk apa dia datang, dan ke mana dia akan menuju. Apabila ia sedar hakikat ini semua, maka akan jelaslah arah dan usahanya. Apabila jelas kedudukan tempat dan usahanya, hati pun menjadi tenteram.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, 51: 56).

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagi kamu amal-amal kamu dan mengampuni bagi kamu dosa-dosa kamu. Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.” (Surah al-Ahdzaab, 33: 70-71)

Dalam ayat-Nya yang lain, “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.” (Surah al-Hujuraat, 49: 13)

“Bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Surah al-Baqarah, 2: 189)

Dari sini kita akan mengerti kehidupan tanpa ketaqwaan tidak akan mendatangkan bahagia meskipun dihiasi dengan gemerlapan dunia serta dikelilingi dengan kemewahan dan limpahan harta. Bahkan tanpa ketaqwaan, kemewahan dunia tersebut bakal mengundang sibuk, lelah, cemas, dan derita. Sedikit sekali yang meyakini ketaqwaan itulah hakikat kebahagiaan. Ketaqwaan itulah sebaik-baik bekal untuk disimpan. Ketaqwaan itulah yang menjemput ketenangan dan kedamaian.

Sikap orang bertaqwa sentiasa berlapang dada, dalam susah mahupun lapang pahala Allah tetap menjadi harapannya. Apabila diuji, ia yakin dengan ujian tersebut Allah akan menyucikan dirinya dan mengangkat darjatnya. Jiwa dan hati orang bertaqwa sentiasa tenang kerana pengabdiannya adalah kepada Allah semata-mata. Iaitu Rabb yang memiliki sifat Maha Kaya, Maha Pengasih, dan Maha Mengawasi.

Kata al-hafiz Ibnul Qayyim:
إذا أنعم عليه شكر، وإذا ابتلي صبر، وإذا أذنب استغفر. فإن هذه الأمور الثلاثة عنوان سعادة العبد، وعلامة فلاحه في دنياه وأخراه، ولا ينفك عبد عنها أبداً  
.
“Apabila diberi nikmat dia bersyukur, apabila diuji dia sabar, dan apabila berdosa dia beristighfar (bertaubat). Tiga perkara ini merupakan tanda-tanda kebahagiaan seseorang hamba serta tanda kejayaan di dunia dan akhirat. Dan hamba tersebut tidak berpisah darinya buat selamanya.” (al-Waabil ash-Shayyib,)

Sesiapa yang mampu merasa manisnya iman, nescaya ia akan merasa nikmatnya kebahagiaan, lapangnya hidup, tenteramnya hati, dan tenangnya tubuh badan. Kata Rasulullah :

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
“Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, ia akan merasa manisnya iman. Iaitu Allah dan Rasul-Nya menjadi yang paling dicintainya dari selain keduanya, mencintai seseorang kerana Allah semata-mata, dan benci jika dikembalikan kepada kekufuran sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 16)

Inilah kesan dari iman yang tertancap kukuh dalam hati. Kesenangan bukan medan untuk dia berbuat sesuka hatinya, manakala kesusahan pula bukan masa untuk berputus-asa dan berlepas diri dari rahmat Tuhannya. Orang yang tunduk dengan hawa nafsu dengan selalu bermaksiat, berbuat dosa, serta mancari kesenangan dunia secara haram, hatinya tidak akan pernah tenang dan tenteram. Allah  berfiman:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا
“Sesiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya bagi dirinya kehidupan yang sempit…” (Surah Thaha, 20: 124)

Allah  telah membuka ruang yang luas untuk setiap kita bertaubat menuju kebahagiaan abadi. Dalam ayat-Nya Allah menyatakan:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
“Bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 133)

Jadi, ketuklah pintu-pintu taubat dan tutuplah pintu-pintu maksiat. Supaya Allah menghadirkan rasa manisnya iman. Iman akan membuahkan taqwa, dan taqwa pula mendatangkan bahagia dunia sampai akhirat. Kesejahteraan hati dicapai dengan meninggalkan dosa, manakala dosa bagi hati umpama racun. Jika tidak merosakkan, nescaya akan melemahkan hati.

Saudara yang dirahmati Allah sekelian, sesiapa yang berhijrah dari hinanya maksiat menuju mulianya ketaatan, nescaya Allah akan menjadikannya kaya walau tidak berharta. Hatinya girang walau tak punya kawan. Manakala orang yang berpaling dari ketaatan kepada Allah dan melalui batas yang diharamkan Allah, nescaya dia akan merasai wilayah sengsara.

والله أعلم بالصواب والله تعالى أعلىو أعلم
 
و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته
 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
 
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)

كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
 
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala  Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

No comments:

Post a Comment