"All praises is due to ALLAH alone. Only the mistakes have been ours. May ALLAH forgive our sins with His infinite mercy, Ameen."
MAY PEACE AND BLESSINGS OF ALLAH SUBANNAH WATAALLAH BE UPON OUR PROPHET MOHAMMED, HIS FAMILY AND COMPANIONS.
BROTHERS AND SISTERS IN ISLAM FISABILILLAH HAS BEEN INACTIVE FOR SOME TIME, HOWEVER WITH THE HELP OF ALLAH WE ARE NOW RELAUNCHING AND INSHALLAH WILL BE AVAILABLE FOR ALL TO GAIN BENEFIT PEACE AND KNOWLEDGE.
ALLAH ACCEPT THE EFFORTS OF ALL INVOLVED ACCEPT OUR THANKS FOR THIS OPPORTUNITY AND FORGIVE OUR FAULTS AND ERRORS FOR THEY ARE SURELY OURS ALONE AND ALL GOOD COMES FROM HIM.

Saturday, January 11, 2014

Bagaimana Allah Menyiksa Hambanya Yang Menderhaka

السلام علبكم و رحمة الله و بركاته

Para penjenayah yang berada di dalam penjara memiliki gelaran yang paling buruk yang diberi oleh masyarakat yang membenci perbuatan mereka. Si pencuri, perompak, perogol dan pembunuh. Walaupun mereka telah bertaubat, habis masa tahanan, jarang masyarakat boleh menerima bekas-bekas banduan ini. Kalaupun boleh, pasti mereka akan sentiasa berwaspada dan curiga. Betapa hebatnya kebencian kepada perbuatan jenayah.

Dapatkah dibayangkan keadaan manusia ketika berada di mahkamah Allah SWT nanti? Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu sepertimana si penjenayah malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam suratkhabar? Bolehkah muka ini ditutup? Bolehkah mengupah peguam paling hebat untuk mengahadapi segala pertuduhan ke atas diri sendiri? Mungkinkah semua orang boleh dibeli dengan wang dan pengaruh? Adakah ada jalan untuk melarikan diri?

Kita manusia yang kerdil, tetapi mengapa berlagak seperti Allah Tuhan Pemilik segalanya? Manusia berkelakuan seperti syaitan, padahal dia berada dalam genggaman Allah tuhanya. Ketika dia merampas hak orang lain, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti. Mengapa Allah SWT tidak menurunkan balanya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapan adalah firman Allah :
وَكَأَيِّنْ مِنْ قَرْيَةٍ أَمْلَيْتُ لَهَا وَهِيَ ظَالِمَةٌ ثُمَّ أَخَذْتُهَا وَإِلَيَّ الْمَصِيرُ
 ”Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku siksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali.” Surah al-Hajj: Ayat 48

Biarlah para pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Kerana Allah SWT Maha Penerima Taubat. Tetapi sayang , mereka suka menunda taubat, menganggap peluang itu adalah untuk berpuas-puas terlebih dahulu dan bertaubat kemudian. Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya mengalahkan syaitan.

Dinikmati segala kemanisan syahwat dunia yang diharamkan sehingga ia lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongannya nanti. Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak di hujung keghairahan, tetapi ia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti dia terpaksa melalui  penyiksaan dan azab yang tak pernah berhujung dengan kematian. Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai siksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kita membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh tujuh puluh tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

’Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu baginda bertanya: ”Tahukah kamu semua suara apakah itu?” Kami menjawab: ”Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda yang maksudnya: ”Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam neraka jahanam semenjak tujuh puluh tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.” Hadis riwayat Imam Muslim

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini. Mengapa mereka memilih kesenangan haram yang sebentar sahaja di dunia ini? Padahal mereka pandai mengira, tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam memilih sesuatu samaada baik atau buruk. Allah SWT mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firmannya:
وَإِنَّ يَوْمًا عِنْدَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ
yang bermaksud; ”Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun dari apa yang kamu hitung.” Surah Al-Hajj: Ayat 47

Bagaimanakah suara tangisan ahli neraka? Pernahkah anda mendengar tangisan orang yang dipisahkan dari keluarganya? Tangisan orang yang menderita sakit dan terpaksa disuntikkan ubat penahan sakit? Tangisan orang yang kematian anak yang disayang? Tangisan orang yang gagal dalam kerjaya? Tangisan perempuan yang disakiti suaminya? Tangisan orang kaya yang muflis? Tangisan ibu dan bapa yang disakiti anak-anaknya? Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tak berhujung. Tiada harapan dan peluang. Mereka merayu kepada Tuhan:
رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْهَا فَإِنْ عُدْنَا فَإِنَّا ظَالِمُونَ
”Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mukminun: Ayat 107)

Allah SWT menjawab rayuan mereka itu dengan firmannya:
قَالَ اخْسَئُوا فِيهَا وَلا تُكَلِّمُونِ
 yang bermaksud: ”Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kamu bercakap dengan Aku.” (Surah al-Mukminun: 108)

Oleh itu, jika kita menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah. Barangsiapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di padang mahsyar nanti. Balasan Allah SWT sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri. Menunduklah wajah yang dahulunya tegak sombong, kecutlah hati yang dahulunya bongkak dan bengkak, menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit. Lalu kita bertanya, layakkah aku mendapat perlindungan Allah? Jawapannya payung Allah itu hanya untuk tujuh golongan sahaja.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Ada tujuh golongan yang akan mendapat pertolongan Allah SWT pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya iaitu:
1. Pemimpin yang adil.
2. Pemuda yang membesar dalam keadaan sentiasa beribadat kepada Allah.
3. Seseorang yang hatinya dekat dengan masjid.
4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana-Nya.
5. Seorang lelaki yang menolak pujuk rayu wanita bangsawan yang cantik, lalu ia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah.
6. Seorang yang bersedekah sedangkan ia merahsiakannya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan tangan kanannya.
7. Seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi sehingga menitis air matanya.
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Semoga memberi keinsafan kepada kita dan penawar kepada keadaan diatas cuba kita lihat janji Allah kepada orang yang berimandidalam Al Quran:
وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan-Annur 52


والله أعلم بالصواب والله تعالى أعلىو أعلم 

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)

كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala  Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

No comments:

Post a Comment